30 August 2011

KINI KEMBALI

gambar ihsan dari: ajk fotografi SKS


SALAM EIDUL FITRI BUAT SEMUA WARGA SK SERENGKAM 2011...SEMOGA KEGEMBIRAAN MENYAMBUTNYA DAPAT DIRASAI DAN DIKONGSI BERSAMA..

Lapar puasa terketar-ketar
Bila berbuka lega rasanya
Kad raya tak sempat nak hantar
Kiriman MMS pun dah kira grand lah ye..!

Anak Dolah makan lepat
Makan lepat sambil melompat
Nak hantar kad raya dah tak sempat
Pakai MMS pun kira ok what?

Lemah lembut tuan puteri
Berkain cindai cantik dipandang
Meriah menyambut Aidilfitri
Sahabat handai datang bertandang

Udara dingin hening pagi
Tabuh bising mulakan hari
Aidilfitri menjelma lagi
Masing-masing pakai berseri

Tanpa mengira miskin kaya
Pangkat kedudukan hamba shaya
Sama-sama menyambut raya
Maaf-maafan dihari bahagia

Aidilfitri hari kemenangan
Kejayaan menempuh halangan
Mengenali erti kesenangan
Bagi mereka yang kekurangan

Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakrapan

Cincin disarung hati berdebar
Jarinan lembut wajah terhias
Ramadan disambut penuh sabar
Aidilfitri disambut dengan meriah

Saidina Affan menyusun kata
Tutur peri yang aulia
Maaf-bermaafan sesama kita
Di Aidilfitri yang mulia

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dari pengurusan SKS

12 February 2011

SELAMAT BERTUKAR _ JASAMU DIKENANG


SK Serengkam kehilangan seorang lagi guru yang berwibawa apabila En. Shahril bin Othman telah ditukarkan ke SK Maran. Beliau yang telah berkhidmat selama 8 tahun di sekolah ini dan telah memberikan sumbangan yang amat bermakna ke arah meningkatkan pencapaian sekolah. Sumbangan terbaik adalah apabila beliau telah dianugerahkan sebagai Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan 2010 yang secara tidak langsung telah menaikkan nama sekolah di peringkat daerah, negeri dan negara.
Warga sekolah amat terasa kehilangan beliau. Namun begitu diharapkan agar En. Shahril akan terus menempa kejayaan walau di mana beliau berada.
JASAMU TETAP DIKENANG

02 August 2010

Peperiksaan Percubaan UPSR 2010

Semua murid tahun 6 telah menjalani peperiksaan Percubaan UPSR pada 27 hingga 30 Julai 2010 yang lalu. Keputusan peperiksaan ini akan dijadikan sebagai penanda aras pencapaian semasa semua murid sebagai persediaan menghadapi UPSR sebenar pada 21 hingga 24 September nanti. Semua guru masih memberikan komitmen yang jitu bagi memastikan pencapaian tahun lepas dikekalkan atau ditingkatkan.

Teruskan Usaha Anda!

09 March 2010

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL





Pada 5 Januari yang lalu, warga SK Serengkam telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Sambutan yang diadakan ini sebagai memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Agenda majlis adalah perarakan, berselawat dan tazkirah.

08 January 2010

KEBERANGKATAN KDYMM SULTAN PAHANG KE SK SERENGKAM





Pada 7 Disember 2009 yang lalu, Tuanku Sultan telah sudi mencemar duli untuk melawat ke SK Serengkam yang merupakan salah sebuah pusat Pemindahan Bencana. Warga SK Serengkam dan penduduk kampung telah menyambut baginda. Persembahan Taklimat ke Bawah Duli Yang Mulia Sultan Pahang sempena menghadapi banjir telah disampaikan di dewan SK Serengkam. Tuanku Sultan telah menunjukkan sikap baginda yang berjiwa rakyat kerana sentiasa prihatin terhadap rakyat jelata terutama yang ditimpa musibah.

02 January 2010

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH


Bermula 04 Januari 2010, semua warga SK Serengkam akan memulakan alam persekolahan bagi sesi 2010. Diharapkan cahaya indah yang menerangi warga sekolah akan terus bertambah sinarnya di tahun ini dan setiap perancangan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kecemerlangan yang dicapai pada tahun 2009 menjadi pemangkin peningkatan semangat semua warga sekolah untuk mencapai sasaran bagi tahun-tahun mendatang. Ayuh, semua warga SK Serengkam.. tingkatkan iltizam kita ke arah pencapaian yang lebih gemilang!

21 November 2009

SELAMAT BERCUTI

Sempena berakhirnya sesi persekolahan bagi tahun 2009 ini, warga SK Serengkam mengucapkan SELAMAT BERCUTI. Semoga berjumpa lagi di sesi persekolahan 2010 dengan semangat yang lebih membara menuju kejayaan. Jumpa lagi pada 04.01.2010

SELAMAT BERCUTI & SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA

SEJARAH TERCIPTA!!!






Warga SK Serengkam begitu berbangga kerana bagi tahun ini keputusan UPSR telah melonjak nama sekolah di peringkat daerah Maran serta negeri Pahang. Keputusan UPSR pada kali ini telah meletakkan SK Serengkam di kedudukan pertama di Daerah Maran dan kedudukan ke-6 di peringkat Negeri. Empat orang murid telah menunjukkan kecemerlangan dengan mencapai 5A iaitu 44.4% , lulus keseluruhan 100% serta mendapat 1.33 Gred Purata Sekolah (GPS). Sejak terbinanya SK Serengkam, dalam tempoh 32 tahun inilah kali pertama keputusan UPSR meletakkan nama sekolah berada ke puncak.
Kecemerlangan tersebut turut diraikan oleh Pegawai dan Timbalan PPD Maran. Kedua-dua tokoh, telah sanggup untuk bersama-sama hadir meraikan ke semua murid yang cemerlang. Ini merupakan julung-julung kali kedua-dua tokoh pendidikan Daerah hadir bersama-sama ke satu-satu majlis yang diadakan di sesebuah sekolah. Semua murid berasa gembira dapat berkongsi kegembiraan dengan Pegawai dan Timbalan PPD.
Dalam satu majlis yang ringkas, mereka telah menyampaikan cenderahati serta basikal kepada ke empat-empat pelajar yang memperoleh 5A. Dalam ucapan, mereka mengharapkan momentum kejayaan ini akan berterusan dan akan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah yang lain.
Tahniah dan Syabas kepada semua warga SK Serengkam terutamanya guru-guru yang menunjukkan komitmen yang jitu untuk mencapai kejayaan ini.

HARI ANUGERAH PENDIDIKAN 2009




Pada 19 November 2009 yang lalu, SK Serengkam telah mengadakan Hari Anugerah Pendidikan sebagai menghargai pencapaian cemerlang murid-murid sepanjang tahun 2009. Majlis dimulakan pada pukul 10.00 pagi telah dihadiri oleh ibu bapa serta penjaga yang sama-sama ingin meraikan kejayaan anak-anak mereka.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh En. Adnan bin Abd. Manaf, Pegawai Unit Peperiksaan PPD Maran. Beliau melahirkan rasa gembira dengan pencapaian murid-murid di SK Serengkam. Majlis tersebut juga diselitkan dengan persembahan daripada murid-murid termasuk daripada pra-sekolah.

07 September 2009

SELAMAT BERJUANG BINTANG HARAPAN

Mulai 08-10 September 2009, murid-murid tahun 6 akan turun berjuang menghadapi peperiksaan UPSR yang telah lama mereka nantikan. Usaha mereka yang begitu gigih selama ini diharapkan akan dapat membuahkan hasil yang lumayan. Semua warga SK Serengkam sentiasa mendoakan mereka akan dapat mencapai kejayaan yang gemilang dengan memperoleh 5A. SELAMAT BERJUANG UNTUK CEMERLANG!!!

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN




Semua warga SK Serengkam telah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 peringkat sekolah pada 02 September 2009 yang lalu. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti perarakan, pertandingan melukis, mewarna dan melukis poster. Semua murid termasuk pra-sekolah terlibat dalam acara ini bagi menunjukkan semangat patriotisme masing-masing. Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar, En. Saari bin Mohd Yusoff.

23 August 2009

AHLAN WASSAHLAN YA RAMADHAN


Bersempena dengan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak, semua warga SK Serengkam mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga keberkatan Ramadhan akan memberi sinar keimanan kepada kita semua sebagai bekal untuk menghadap Ilahi... Amin.

16 July 2009

KENANGAN BERSAMA TUAN GURU BESAR


Semua kakitangan SK Serengkam merakamkan gambar kenangan bersama dengan Tuan Guru Besar, En. Mohd Bahari bin L. Shapei sebelum perpindahan beliau.

15 July 2009

SELAMAT BERTUKAR


Warga SK Serengkam akan kehilangan seorang lagi pentadbir yang berkaliber. Berkuat kuasa 01 Julai 2009, En. Mohd Bahari bin L. Shapei akan dinaikkan pangkat ke gred DG34 dan ditukarkan ke SK Chedong Jaya. Selama 2 tahun beliau bersama-sama warga SK Serengkam, banyak perubahan yang dapat dilihat dan dikecapi. Sikap beliau yang sentiasa bertolak ansur telah mewujudkan suasana kerja yang kondusif di kalangan warga SK Serengkam.
Idea-idea yang baharu dan komitmen yang tinggi sentiasa ditunjukkan untuk kebaikan murid khususnya dan semua kakitangan amnya. Semua warga SK Serengkam akan terasa kehilangan beliau. Tempat beliau sebagai pentadbir akan diganti oleh En. Saari bin Mohd Yusof.

09 March 2009

KECERIAAN KELAS






Bagi mewujudkan suasana yang ceria dan selesa berkonsepkan kelasku kamarku, semua kakitangan SK Serengkam telah berkerjasama menceriakan kelas. Hasilnya, semua kelas telah menampakkan suasana yang ceria dan menggembirakan murid-murid. Diharapkan semoga suasana yang ceria dan kondusif sebegini akan menaikkan semangat kepada semua murid untuk belajar dan berjaya.

07 February 2009

MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-34

Semalam (6 Feb 2009) telah diadakan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-34 di dewan SK Serengkam. Mesyuarat yang bermula pada pukul 3.00 petang, telah dirasmikan oleh En. Rahimi Samad, Setiausaha Persatuan Kontraktor Melayu Pahang. Sewaktu ucapan perasmian, beliau telah memuji pencapaian murid SK Serengkam dalam kurikulum dan kokurikulum. Sehubungan itu, beliau mencabar murid-murid yang akan menghadapi UPSR 2009 supaya belajar bersungguh-sungguh dan cuba mencapai keputusan 5A. Beliau berjanji untuk menyediakan basikal sebagai hadiah kepada murid-murid yang berjaya.
Mesyuarat berlangsung selepas itu. Pelantikan Jawatankuasa bagi sesi 2008/2009 telah dijalankan dan bagi pemilihan YDP, sebulat suara ahli telah memilih En. Anuar Fauthi yang dikekalkan jawatan tersebut atas komitmen yang ditunjukkan.
Beberapa usul telah dibahaskan termasuklah cadangan bayaran tambahan bagi tahun 2009. Keputusannya, semua ahli bersetuju untuk menerima usul bayaran tambahan yang dibentangkan tanpa bantahan.
Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 6.00 petang. TAHNIAH kepada semua AJK yang telah dilantik.

28 January 2009

SAMBUTAN MAAL HIJRAH




Pada 22 Januari yang lalu, sambutan Maal Hijrah peringkat sekolah telah diadakan dengan meriahnya. Beberapa program dijalankan sepanjang hari tersebut melibatkan semua kakitangan SK Serengkam. Semua kakitangan yang terdiri daripada guru dan kakitangan serta pekerja swasta telah berkerjasama memeriahkan sambutan tersebut. Dua kawah bubur Assyura telah dimasak mengikut resepi Pantai Timur dan Utara. Pada sebelah pagi, murid-murid telah menyertai pertandingan mewarna dan melukis poster. Kemudiannya, slot ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Uni Iskandar dilangsungkan di dalam dewan.
Bubur Assyura yang dimasak telah diagihkan oleh Guru Besar SK Serengkam kepada semua murid dan kakitangan untuk dibawa pulang. Program ini turut dijayakan oleh AJK PIBG sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti penjalinan ukhwah ini.


03 January 2009

KEMBALI KE SEKOLAH


Pada 05 Januari 2009 semua warga SK Serengkam akan kembali meneruskan perjuangan menuntut dan mencurahkan ilmu. Semoga pada tahun ini akan memberikan sinar kecemerlangan dalam semua bidang sama ada pentadbiran, kurikulum, kokurikulum mahupun bina insan. SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH!

02 January 2009

SELAMAT BERPISAH

Pada sesi persekolahan yang akan bermula pada 5 Januari 2009, salah seorang daripada guru di sekolah ini akan bertukar. Beliau yang dimaksudkan ialah Cik Noraizi binti Abdullah yang merupakan guru pra-sekolah yang telah bertukar ke salah sebuah sekolah di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Tempat beliau akan digantikan oleh Pn. Norizan binti Mohammad Nor yang bertukar daripada Sarawak. Sumbangan beliau selama 2 tahun di sekolah ini amat dihargai dan diharapkan akan terus menjadi guru yang berjasa dan dingati.
Selamat Berpisah Cikgu Noraizi & Selamat Datang Cikgu Norizan.