20 May 2008

HARI KELUARGA SK SERENGKAM




Semua guru dan kakitangan SK Serengkam telah berkesempatan untuk bersama-sama pada Hari Keluarga yang diadakan pada 18 & 19 Mei yang lalu. Perancangan sejak awal tahun 2008 lagi telah membawa kepada program tersebut dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara semua warga sekolah. Tempat yang menjadi pilihan bagi Hari Keluarga kali ini adalah di Muara Beach Resort, Balok, Kuantan. Banyak aktiviti menarik yang telah dijalankan pada hari tersebut seperti permainan futsal, sukaneka, mandi-manda di kolam renang dan bergotong-royong membakar ayam BBQ. Program ini telah berjaya mengumpul ke semua ahli keluarga guru dan kakitangan SK Serengkam dan secara tidak langsung telah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara semua ahli. Suasana ceria dan harmoni dapat dilihat sepanjang 2 hari tersebut. Diharapkan agar suasana begini akan berterusan dan mewujudkan semangat kerjasama dalam apa sahaja program yang dijalankan pada masa akan datang.

SELAMAT HARI GURU 2008



Bersempena Hari Guru 2008, pihak sekolah telah mengadakan sambutan peringkat sekolah pada 16 Mei yang lalu. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan sambutan tersebut. Aktiviti bermula dengan perhimpunan pagi bagi mendengar perutusan daripada YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia. Acara permainan bola tampar, futsal dan sukaneka yang melibatkan semua kakitangan SK Serengkam termasuk murid-murid telah dijalankan selepas perhimpunan tersebut. Acara pada hari tersebut diakhiri dengan aktiviti persembahan murid dan guru, pertukaran hadiah dan penyampaian hadiah daripada murid-murid kepada guru-guru mereka. Sambutan hari guru 2008 yang bertemakan Guru Cemerlang Negara Terbilang itu telah membawa seribu kenangan kepada semua yang terlibat.