25 November 2008

PROJEK PIBG


Jawatankuasa PIBG sesi 2008/2009 telah menunjukkan sikap proaktif untuk menambah dana bagi keperluan program yang dijalankan oleh PIBG untuk kepentingan murid-murid SKS. Salah satu projek yang telah menunjukkan hasil yang boleh dibanggakan ialah peliharaan ikan sangkar. Ikan talipia yang dipelihara diletakkan di dalam dua buah sangkar di Sungai Pahang. Sikap kerjasama yang baik di antara jawatankuasa PIBG yang diterajui oleh En. Anuar b. Fauthi selaku YDP telah menunjukkan hasil yang membanggakan. Syabas kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung menjayakan projek ini.

SELAMAT BERCUTI

Sempena cuti persekolahan yang bermula pada 15 November 2008, semua guru SK Serengkam mengucapkan Selamat Bercuti.

HARI PENDIDIKAN 2008




Pada 13 November 2008 yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan Hari Pendidikan bagi menghargai pencapaian murid-murid yang cemerlang dalam pendidikan dan kokurikulum sepanjang tahun 2008. Majlis tersebut turut diselitkan dengan persembahan murid-murid dan penyampaian sijil kepada murid-murid pra-sekolah. Pada penghujung majlis, semua tetamu dihidangkan dengan makanan yang disediakan oleh penduduk kampung melalui gotong-royong. Penduduk kampung juga dijemput menikmati hidangan ikan talipia bakar hasil peliharaan PIBG dan beberapa jenis masakan kampung yang lain.

KEBANGGAAN WARGA SKS




Keputusan UPSR 2008 yang diumumkan baru-baru ini telah memberikan keceriaan kepada semua warga SKS. Peratusan yang meningkat berbanding tahun sebelum dan pencapaian 5A yang meningkat telah menggembirakan semua pihak terutamanya pihak sekolah. Peratus lulus keseluruhan meningkat 10.6% iaitu peningkatan daripada 72.7% pada tahun 2007 berbanding 83.3% pada tahun 2008. Dua mata pelajaran mencapai peratusan lulus 100% iaitu Bahasa Melayu Pemahaman dan Sains. Tahniah diucapkan kepada dua murid kebanggaan Serengkam iaitu Halimatul Saadiah bt. Mohd Hidayah dan Nur Safikah bt. Harun. Penat lelah guru-guru selama ini terbayar dengan pencapaian cemerlang ini.

02 November 2008

GURU BERIJAZAH


Bagi mencapai matlamat KPM iaitu 50% guru sekolah rendah memiliki ijazah menjelang 2010, SK Serengkam turut menyahut seruan kementerian ini. Hasilnya, sehingga kini terdapat 62% guru di SK Serengkam yang telah memiliki ijazah dan secara tidak langsung telah mencapai sasaran tersebut. Sasaran tersebut telah disempurnakan oleh seorang lagi guru SK Serengkam, En. Mohd Anazir bin Mamat apabila beliau telah menamatkan pengajian di UPM dan dianugerahkan Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) pada Oktober 2008. Tahniah diucapkan dan semua warga SK Serengkam turut berbangga dengan kejayaan tersebut. Menjelang 2010, dijangkakan 100% guru SK Serengkam akan mempunyai ijazah kerana sebahagian daripada mereka masih meneruskan pengajian masing-masing.

MAJLIS JAMUAN AIDIL FITRI






Sempena memeriahkan Aidilfitri tahun ini, pihak sekolah telah mengadakan majlis jamuan yang melibatkan semua warga SK Serengkam serta Jawatankuasa PIBG. Program bermula pada 12 Oktober 2008 dengan acara memasak lemang secara bergotong royong. Pada hari majlis diadakan, pelbagai hidangan telah disediakan untuk dinikmati bersama seperti satay, soto, agar-agar, lemang dan rendang. Semua murid begitu gembira menikmati hidangan yang disediakan oleh para guru, kakitangan sekolah serta AJK PIBG.

25 September 2008

SALAM AIDILFITRI


Jari disusun memohon kemaafan atas kesalahan yang dilakukan. Semoga Aidilfitri menjadi seri atas pertautan hati yang murni seikhlas hati serta restu dari Ilahi. Maaf Zahir dan Batin.

03 September 2008

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-51





Bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan", sambutan Hari Kemerdekaan Ke-51 peringkat sekolah telah disambut dengan meriahnya. Pelbagai acara diatur bagi memeriahkan hari yang bersejarah bagi negara ini. Pada sebelah pagi, perhimpunan dan ucapan daripada Guru Besar bersempena hari kemerdekaan telah diadakan. Kemudiannya, diikuti dengan senamrobik dan larian merdeka. Pertandingan mewarna yang melibatkan murid-murid pra sekolah serta semua pelajar mengikut tahap turut mendapat sambutan. Pertandingan menghias basikal menggunakan Jalur Gemilang merupakan kemuncak aktiviti sambutan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini diharapkan dapat menyemai semangat patriotik dan cintakan tanahair ke dalam diri semua murid.

30 August 2008

PENDUKUNG KECEMERLANGAN UPSR 2008


Pada 09 September 2008 yang akan menjelang merupakan saat yang mendebarkan bagi semua murid tahun 6 kerana tarikh tersebut mereka akan menduduki UPSR 2008. Segala ilmu yang dituntut akan diterjemahkan sebaik mungkin bagi mencapai matlamat memperoleh 5A. Berdasarkan keputusan terkini, seramai 6 orang murid menjadi pertaruhan untuk mencapai 5A bagi peperiksaan kali ini. Pencapaian mereka yang konsisten diharapkan akan diteruskan dan memperoleh kejayaan yang cemerlang. Semua warga SK Serengkam mengucapkan SELAMAT MAJU JAYA kepada semua calon UPSR 2008 dan kami mendoakan kejayaan akan menjadi milik anda.

08 August 2008

TAHNIAH PARA GRADUAN




Semua warga SK Serengkam berbangga dengan kejayaan tiga orang guru yang telah menamatkan pengajian mereka pada peringkat sarjana muda dan sarjana. Ketiga-tiga mereka ialah En. Mohd Bahari b. L Shapei, guru besar SK Serengkam yang telah menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), En. Shahril bin Othman, GPK 1 yang menamatkan pengajian di peringkat sarjana di UM (Universiti Malaya) dan En. Mohamed Bakri b. Abd Malek yang merupakan bekas guru di SK Serengkam dan sekarang ini bertugas di PPD Maran yang juga merupakan graduan peringkat sarjana di UM (Universiti Malaya).
Sebagai meraikan para graduan, satu majlis telah diadakan pada 08.08.2008 dengan acara bergambar beramai-ramai dan jamuan keraian. Selain bergambar dengan semua kakitangan, para graduan juga turut bergambar dengan murid-murid tahun 6 dengan tujuan memotivasikan mereka yang akan menghadapi UPSR tidak lama lagi. Semoga dengan kejayaan guru-guru mereka ini akan menaikkan semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh. Tahniah diucapkan kepada para graduan.

22 July 2008

INTER CLASS SPELLING COMPETITION



Satu pertandingan 'Inter Class Spelling Competition' telah diadakan pada 22 Julai 2008 untuk tujuan memilih 3 orang wakil sekolah ke pertandingan peringkat Daerah Maran. Pertandingan ini melibatkan murid-murid daripada tahun 4 dan 5 sahaja. Pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana masing-masing bersaing untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah. Selepas berakhir pertandingan tersebut, tiga orang telah terpilih iaitu Nur Syahida Nafisah, Nur Azifah dan Mohd Hafizuddin yang ke semuanya merupakan murid tahun 5. Semoga mereka dapat membawa kejayaan pada peringkat daerah yang akan diadakan nanti.

PROGRAM (2) - SMART READING



Pada setiap pagi Selasa, program Smart Reading diadakan selama 15 minit selepas loceng pertama dibunyikan sebagai salah satu program meningkatkan keupayaan murid-murid membaca di dalam Bahasa Inggeris. Program Panitia Bahasa Ingerris ini dikendalikan oleh Pn. Noorle binti Ismail dan dibantu oleh ahli panitia yang lain. Murid-murid dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu level 1 bagi murid yang masih lemah membaca, level 2 bagi murid yang sederhana dan level 3 bagi murid yang dapat membaca dengan lancar. Bahan bacaan diberikan berdasarkan keupayaan kumpulan tersebut. Lima patah perkataan yang dipilih daripada teks tersebut akan dihafal bersama maksudnya oleh murid-murid bagi tempoh seminggu.

18 July 2008

PELANCARAN PROGRAM KEMBARA BUKU


Program Kembara Buku hasil idea Tuan PPD Maran, telah dilancarkan di peringkat sekolah pada 18 Julai 2008. Program ini bertujuan menggalakkan murid-murid minat terhadap bacaan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan. Pelancaran ini telah dirasmikan oleh Ketua Kampung Serengkam En. Abd. Ghaffar bin Barat dan turut dihadiri oleh Pegawai Unit KGSK, PPD Maran, En. Mohamed Bakri bin Abd Malek. Program ini melibatkan murid-murid tahun 5, ibu bapa, PIBG serta guru-guru SK Serengkam. Pada pelancaran tersebut, adik Nur Syahida Nafisah dan Mohd Hafizuddin telah mendeklamasikan sebuah sajak hasil nukilan En. Mohd Anazir yang diadaptasi daripada buku Sisa-sisa perjuangan. Majlis tersebut diakhiri dengan pertandingan kuiz yang melibatkan ibu bapa dan guru-guru. Soalan-soalan kuiz diterjemahkan daripada kandungan buku tersebut.

12 July 2008

PROGRAM (1) - BACAAN SENYAP

Program Bacaan Senyap merupakan salah satu program yang dijalankan oleh di SK Serengkam yang bertujuan menambah minat membaca di kalangan murid-murid serta guru-guru. Program yang dikendalikan oleh PSS ini dijalan pada setiap pagi Rabu bermula pada pukul 7.30 hingga 7.45 pagi. Bahan bacaan diagihkan kepada murid berdasarkan tahap keupayaan bacaan mereka. Semua guru turut serta dalam program ini termasuk guru besar.

22 June 2008

PERUBAHAN ORGANISASI

Bermula 1 Jun 2008, organisasi pentadbiran SK Serengkam berlaku sedikit perubahan disebabkan pertukaran En. Mohamed Bakri bin Abdul Malek ke PPD Maran. Oleh yang demikian, jawatan GPK 1 telah diambil alih oleh En. Shahril bin Othman dan GPK HEM oleh En. Mohd Anazir bin Mamat berkuat kuasa 01 Jun 2008. Manakala En. Akmal Syah bin Mohamed kekal sebagai GPK Kokurikulum. SELAMAT BERTUGAS.

09 June 2008

TAHNIAH !!


Semua warga SK Serengkam merakamkan ucapan tahniah kepada En. Mohamed Bakri b. Abd Malek kerana telah dilantik sebagai Pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Maran mulai 01 Jun 2008. Belaiau ditugaskan sebagai pegawai yang bertanggung jawab terhadap KGSK iaitu satu unit baharu yang diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau yang telah berkhidmat selama 15 tahun di SK Serengkam amat komited di dalam setiap tugasan yang diberikan. Selamat Maju Jaya diucapkan kepada beliau.

20 May 2008

HARI KELUARGA SK SERENGKAM




Semua guru dan kakitangan SK Serengkam telah berkesempatan untuk bersama-sama pada Hari Keluarga yang diadakan pada 18 & 19 Mei yang lalu. Perancangan sejak awal tahun 2008 lagi telah membawa kepada program tersebut dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara semua warga sekolah. Tempat yang menjadi pilihan bagi Hari Keluarga kali ini adalah di Muara Beach Resort, Balok, Kuantan. Banyak aktiviti menarik yang telah dijalankan pada hari tersebut seperti permainan futsal, sukaneka, mandi-manda di kolam renang dan bergotong-royong membakar ayam BBQ. Program ini telah berjaya mengumpul ke semua ahli keluarga guru dan kakitangan SK Serengkam dan secara tidak langsung telah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara semua ahli. Suasana ceria dan harmoni dapat dilihat sepanjang 2 hari tersebut. Diharapkan agar suasana begini akan berterusan dan mewujudkan semangat kerjasama dalam apa sahaja program yang dijalankan pada masa akan datang.

SELAMAT HARI GURU 2008



Bersempena Hari Guru 2008, pihak sekolah telah mengadakan sambutan peringkat sekolah pada 16 Mei yang lalu. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan sambutan tersebut. Aktiviti bermula dengan perhimpunan pagi bagi mendengar perutusan daripada YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia. Acara permainan bola tampar, futsal dan sukaneka yang melibatkan semua kakitangan SK Serengkam termasuk murid-murid telah dijalankan selepas perhimpunan tersebut. Acara pada hari tersebut diakhiri dengan aktiviti persembahan murid dan guru, pertukaran hadiah dan penyampaian hadiah daripada murid-murid kepada guru-guru mereka. Sambutan hari guru 2008 yang bertemakan Guru Cemerlang Negara Terbilang itu telah membawa seribu kenangan kepada semua yang terlibat.

12 May 2008

Kem Kecemerlangan UPSR (1)




Sebagai persediaan murid-murid tahun 6 yang akan menghadapi UPSR bagi tahun 2008, pihak sekolah telah mengadakan Kem Kecemerlangan UPSR Kali pertama pada 7 - 10 Mei 2008. Kem ini telah disertai oleh murid-murid daripada SK Serengkam, SK Senggora dan SK Kuala Wau. Kem ini diisi dengan ceramah teknik menjawab soalan, kelas bimbingan dan ujian pengesanan bagi melihat pencapaian keseluruhan murid-murid yang terlibat. Kem ini mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak terutamanya guru-guru yang bertungkus lumus bagi menjayakan program kecemerlangan ini.

06 May 2008

Program Nafas Segar

Dua orang murid telah terpilih mewakili negeri Pahang ke peringkat Kebangsaan bagi Program Nafas Segar di Hotel Goldcoast, Selangor. Program tersebut berlangsung selama 4 hari bermula 5 hingga 8 Mei 2008. Murid yang terpilih adalah Nur Syahida Nafisah bt. Shahril dan Mohd Hafizuddin bin Zainal daripada tahun 5. Peserta dari negeri Pahang diwakili oleh 24 orang murid yang terdiri daripada pemimpin pelajar dan dua orang guru pemimpin.

30 April 2008

Sukan Tahunan 2008


Kejohanan Sukan Tahunan telah diadakan dengan meriahnya pada 30 April 2008. Sebelum tiba pada hari kejohanan, acara merentas desa dan acara padang telah diadakan pada 28 dan 29 April di mana markah daripada kedua-dua acara tersebut telah digabungkan dengan markah pada hari kejohanan bagi menentukan juaa keseluruhan. Pada tahun ini, rumah kuning telah mengungguli kejohanan dan diikuti oleh rumah merah dan rumah hijau. Penduduk kampung juga tidak ketinggalan menyaksikan kejohanan ini di samping turut menyertai acara terbuka iaitu susun bata dan lari berpasangan yang telah diadakan. Aksi daripada para pegawai juga dapat dilihat dalam acara 100m, 200m dan 4 x 100m. Pada kejohanan kali ini, terdapat ramai bakal atlet yang dapat ditonjolkan bagi persediaan dalam kejohanan peringkat zon dan daerah pada masa akan datang.

Aksi-aksi Hari Sukan





10 April 2008

KAKITANGAN SK SERENGKAM 2008



NAMA DAN JAWATAN

  1. MOHD BAHARI BIN L. SHAFIE ( GURU BESAR )
  2. SHAHRIL BIN OTHMAN (GPK PENTADBIRAN )
  3. MOHD ANAZIR BIN MAMAT ( GPK HEM )
  4. AKMAL SYAH BIN MOHAMED ( GPK KOKURIKULUM)
  5. MOHD ZAWAWI BIN MOHD TAIB ( GURU PENOLONG )
  6. MOHD NASIR BIN MAT TAHA ( GURU PENOLONG )
  7. UNI ISKANDAR BIN HALIB ( GURU PENOLONG )
  8. NOORLE BINTI ISMAIL ( GURU PENOLONG )
  9. MARYATI BT. YUSUF ( GURU PENOLONG )
  10. SITI NOREMI BT. ZAKARIA (GURU PENOLONG)
  11. NOR AIZI BT. ABDULLAH ( GURU PRA SEKOLAH )
  12. NURUL SAZRINDA BT. MOHD ANUA ( GURU PEMULIHAN )
  13. NOR SAADAH BT. AMIN YUSUF ( GURU J-QAF )
  14. MARDIYANA ( PEM. PENGURUSAN MURID )
  15. AZLINA BT. MAHUSSIN ( PEMBANTU TADBIR )

09 April 2008

Berita Kokurikulum

Pencapaian Kokurikulum Terkini
  1. Tiga orang murid telah mewakili Zon Luit ke peringkat Daerah Maran dalam Perkhemahan Bersepadu Unit Uniform 2008 di Kem Mesra Alam, Gunung Senyum.
  2. Tiga orang murid telah layak mewakili Daerah Maran dalam Perkhemahan Bersepadu Unit Uniform 2008 peringkat Negeri Pahang di Kem Kokurikulum Daerah Bera.
  3. Seorang murid telah berjaya terpilih dalam Perkhemahan Bersepadu Unit Uniform Sekolah Rendah 2008 Peringkat Kebangsaan 2008 di Pasir Puteh, Kelantan.
  4. Empat peserta pantun telah berjaya merangkul naib johan dalam Pertandingan Pantun Karnival Tunas Ko-Akademik 2008 peringkat Negeri Pahang.
  5. Peserta Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris Zon Luit 2008 telah berjaya menjadi johan.
  6. Dua orang pelajar telah terpilih mewakili zon Luit bagi mewakili Daerah Maran dalam pertandingan Bola Baling peringkat Daerah Maran 2008.
  7. Pasukan bola sepak telah berjaya ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan bola sepak Zon Luit 2008.
  8. Pasukan bola baling telah berjaya sehingga ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan bola baling Zon Luit 2008.
  9. Seorang pemain badminton telah berjaya merangkul naib johan dalam kejohanan badminton peringkat Zon Luit 2008.
  10. 7 orang murid yang turut menjadi peserta pertandingan Kawad Kaki (Formasi) Peringkat Daerah Maran telah berjaya merangkul Johan dalam pertandingan tersebut.
  11. Kesemua 7 peserta tersebut telah dipilih menyertai Pertandingan Kawad Kaki (Formasi) Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Jerantut pada 27 April yang lalu.
  12. 2 wakil daripada SK Serengkam telah dipilih sebagai pemain bola baling zon Luit untuk menyertai pertandingan Bola Baling peringkat Daerah Maran.
  13. Seorang murid perempuan dan lelaki Tahun 5 telah terpilih sebagai peserta yang meakili Negeri Pahang ke Seminar Nafas Segar Peringkat Kebangsaan 2008 yang diadakan di Selangor pada 5 hingga 8 April 2008.

Johan Pertandingan Bercerita


Nur Aimuni Nabila, pelajar pra-sekolah daripada SK Serengkam telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan bercerita Bahasa Inggeris peringkat Zon Luit 2008. Kejayaan ini amat membanggakan dan adik Aimuni akan mewakili zon ke peringkat Daerah Maran tidak lama lagi. "Selamat Maju Jaya".

Naib Johan Pantun


Peserta pantun peringkat negeri daripada Sekolah Kebangsaan Serengkam yang mewakili Daerah Maran telah berjaya memenangi naib johan dalam pertandingan tersebut. Peserta-peserta tersebut iaitu Nur Syahida Nafisah, Shafika, Nur Izzati Hanim dan Wan Sasuzila telah menunjukkan bakat yang terpuji dalam pertandingan tersebut namun nasib tidak menyebelahi mereka. Sungguh pun begitu, kejayaan selaku naib johan tetap membanggakan. Tahniah dan syabas juga kepada semua guru pembimbing iaitu En. Mohd Bakri, En. Mohd Anazir, Cik NorAizi dan Cik Nur Saadah.

07 April 2008

Mesyuarat Agong PIBG

5 Mac 2008- PIBG SK Serengkam telah mengadakan mesyuarat agung kali yang ke-32 pada hari Jumaat bermula pukul 3.00 petang. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh ADUN Luit, YB. Dato' Munawwar Abdul Jalil. Tahniah kepada semua jawatankuasa yang telah dilantik dan penghargaan dihulurkan kepada jawatankuasa yang telah berkhidmat bagi sesi 2007/2008. Semoga kerjasama yang erat dan berterusan dapat dikekalkan antara semua pihak demi kebaikan pendidikan anak bangsa terutamanya di SK Serengkam.